Tuesday, August 25, 2009

Ibadat puasa landasan terbaik mentarbiyah diri



ALLAH berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 183; Ertinya:

“Wahai orang-orang yang beriman! Difardukan atas kamu berpuasa (Ramadan) sebagaimana difardukan ke atas orang yang sebelum kamu mudah-mudahan kamu termasuk dalam golongan orang bertakwa.”

Allah menghubungkan dalam ayat ini kaitan di antara ibadat puasa dengan pembentukan insan bertakwa. Sudah tentu ada rahsia yang amat berharga terkandung dalam ibadat puasa sebagai pemangkin kepada ketakwaan dan kekuatan orang mukmin.

Di sinilah pentingnya bagi kita untuk membuka tabir rahsia puasa sebagai salah satu bahagian terpenting daripada ibadat itu.

Sebagai seorang Muslim mukmin yang sejati, kehadiran Ramadan yang terkandung di dalamnya tuntutan berpuasa sewajarnya dimanfaatkan sebaik mungkin dan menjadi bahan kegembiraan yang tiada tolok bandingnya bagi kita semua.


Dr Yusuf Qardhawi dalam kitabnya al-Ibadah Fil Islam mengungkapkan ada lima rahsia puasa yang utama yang membolehkan kita merasakan kenikmatannya dalam ibadat ini.

Pertama, menguatkan jiwa iaitu dalam hidup, banyak kita dapati manusia yang didominasi oleh hawa nafsunya, lalu manusia itu menuruti apa pun yang menjadi keinginannya meskipun keinginan itu adalah sesuatu yang bathil dan mengganggu serta merugikan orang lain.

Kerana itu, di dalam Islam ada perintah untuk memerangi hawa nafsu dengan maksud berusaha untuk menguasainya, bukan membunuh nafsu yang membuat kita tidak mempunyai keinginan terhadap sesuatu yang bersifat duniawi.

Sekiranya dalam peperangan ini (hawa nafsu) manusia mengalami kekalahan, malapetaka besar akan terjadi kerana manusia yang kalah dalam perang melawan hawa nafsu itu akan mengalihkan penuhanan daripada mengabdikan diri kepada Allah SWT sebagai Tuhan yang Maha Besar kepada hawa nafsu yang cenderung mengarahkan manusia pada kesesatan.

Allah memerintahkan kita memperhatikan masalah ini dalam firman-Nya;

Ertinya: “Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmu-Nya.” (al-Jaathiyah (45): 23).

Kedua, mendidik keinginan ke arah kebaikan iaitu puasa mendidik seseorang untuk memiliki keinginan yang sungguh-sungguh kepada kebaikan, meskipun untuk melaksanakan kebaikan itu terhalang oleh pelbagai mehnah atau tribulasi (kesukaran). Puasa yang dikerjakan secara terbaik akan membuatkan seseorang itu terus mempertahankan keinginannya yang baik, meskipun peluang untuk menyimpang begitu besar.

Dalam kaitan ini, puasa akan membuat kekuatan rohani seorang Muslim semakin ampuh. Kekuatan rohani yang unggul ini akan membuatkan seseorang itu tidak akan lupa diri meskipun mencapai kejayaan atau kenikmatan duniawi dan kekuatan rohani juga akan membuat seorang Muslim tidak akan berputus asa meskipun penderitaan yang dialami sangat sulit.

Ketiga, menyihatkan badan iaitu di samping kesihatan dan kekuatan rohani, puasa juga akan memberikan pengaruh positif berupa kesihatan jasmani (tubuh dan anggota badan). Hal ini tidak hanya dinyatakan oleh Rasulullah, tetapi juga sudah dibuktikan oleh doktor atau ahli perubatan dunia yang membuat kita tidak perlu meragukannya.

Keempat, mengenal nilai kenikmatan dan bersyukur. Dalam hidup ini, sebenarnya sudah terlalu banyak kenikmatan yang Allah berikan kepada manusia, tapi banyak pula manusia yang tidak pandai mensyukuri.

Dapat satu tidak terasa nikmat kerana menginginkan dua, dapat dua tidak terasa nikmat kerana menginginkan tiga dan begitulah seterusnya. Padahal, kalau manusia mau memperhatikan dan merenungi, apa yang diperoleh sebenarnya sudah sangat menguntungkan kerana begitu ramai orang yang tidak memperoleh sesuatu seperti mana yang diperoleh olehnya ataupun orang lain memperoleh sesuatu melalui jerih payah kesukaran berbanding dengan dirinya.



Kelima, mengingati dan merasakan penderitaan orang lain. Merasa lapar dan haus juga memberikan pengalaman kepada kita bagaimana beratnya penderitaan yang dirasakan orang lain.

Sebab, pengalaman lapar dan haus yang kita rasakan akan segera berakhir hanya dengan beberapa jam (lebih kurang 12 atau 13 jam saja), sementara penderitaan orang lain entah bila akan berakhir.

Dari sini puasa akan menumbuhkan dan memantapkan rasa simpati kita kepada kaum Muslimin lainnya yang mengalami penderitaan yang hingga kini masih belum selesai, seperti penderitaan saudara-saudara kita di Chechnya, Kosovo, Iraq, Palestin, dan sebagainya.

Oleh itu, sebagai simbol dari rasa simpati itu, sebelum Ramadan berakhir, kita diwajibkan untuk menunaikan zakat (fitrah) agar dengan itu setahap demi setahap kita mampu mengatasi persoalan-persoalan umat yang menderita.

Sebagai kesimpulannya bolehlah dinyatakan bahawa oleh kerana rahsia puasa sesuatu yang amat penting bagi kita, sudah sepatutnyalah kalau kita menyambut kedatangan Ramadan tahun ini dengan penuh rasa gembira, sehingga kegembiraan kita ini akan membantu melaksanakan ibadat Ramadan dengan penuh keinsafan dan keringanan meskipun sebenarnya ibadat Ramadan itu berat.

Agar dengan menunaikan ibadat puasa ini mampu mendatangkan kekuatan kepada kita semua dan termasuk ke dalam golongan orang mukmin yang bertakwa.